Beberapa Ibadat / Adab Harian

Beberapa Ibadat/Adab Harian

Adab Tidur

Tidur bagi seorang muslim adalah dikira ibadat jika ia memenuhi adab-adabnya yaitu:-

  • Membersihkan badan dari najis dan hadas bila hendak tidur, disunatkan mengambil wuduk sekalipun ia berada dalam hadas besar.
  • Kedudukan badannya di waktu tidur mengadap ke kiblat seperti kedudukan mayat.
  • Membaca doa atau surah-surah yang tertentu sewaktu hendak tidur, Rasulullah s.a.w. antara lainnya bila hendak tidur membaca surah al-ikhlas, al-Falaq dan al-Nas dihembuskan bacaan itu di kedua belah tangannya dan digosok ke seluruh badannya di mana tangannya dapat sampai. Bacaan dan perbuatan ini diulangnya sebanyak tiga kali berturut-turut.

Adab Bangun dari Tidur:

  1. Seorang Muslim apabila sedar dari tidur di waktu pagi hendaklah melafazkan ucap syukur kepada Allah s.w.t. kerana Allah masih memanjangkan umurnya untuk hidup. Ucapan syukur yang bermaksud: “Puji-pujian bagi Allah yang menghidupkan kami selepas kami dimatikan (tidur) dan kepadaNya kami kembali”.
  2. Kemudian ia bangkit menuju ke bilik air, ketika itu hendaklah ia kemaskan pakaiannya dengan niat menutup aurat yang dituntut oleh syarak.

Adab Masuk dan Keluar Tandas

  1. Tandas adalah tempat kotor, tidak digalakkan tinggal lama di dalamnya kecuali sekadar untuk keperluan membuang air, disunatkan meletakkan sesuatu untuk menutup kepala ketika masuk tandas. Dimulakan dengan membaca doa pelindung yang bermaksud:- “Hai Tuhan, sesungguhnya aku minta perlindungan dengan Engkau dari syaitan jantan dan betina”.
  2. Kemudian melangkah masuk dengan kaki kiri.
  3. Apabila telah selesai membuang air hendaklah keluar segera dengan melangkah kaki kanan, kemudian membaca doa kesyukuran kepada Allah yang bermaksud: “Puji-pujian bagi Allah yang telah menghilangkan daripadaku kesakitan dan menyihatkan aku”.
  4. Apabila telah selesai membersihkan najis hendaklah membaca doa bagi membersihkan kotoran zahir dan batin yang bermaksud:- “Hai Tuhan bersihkan hatiku dari nifak dan jagalah kemaluanku daripada zina”.

Adab Bersugi dan Berwuduk

  1. Membersih mulut dan gigi amat dituntut oleh Islam. Rasulullah s.a.w. bersabda yang bermaksud:- “Kalaulah tidak kerana menyusahkan umatKu nescaya Aku menyuruh mereka bersugi pada tiap-tiap kali sembahyang”.
  2. Bersugi adalah sunat menggunakan kayu sugi atau lain-lain alat sugi yang boleh membersihkan.
  3. Sesudah itu mengambil wuduk, di waktu membersih anggota-anggota wuduk itu hendaklah diingatkan untuk membersih kekotoran batin juga. Bagi mengikat hati seseorang dari leka dan lalai ketika mengambil wuduk, setengah ulamak meminta supaya membaca doa di setiap anggota yang dibasuh dan disapu. Dimulakan wuduk membaca yang bermaksud: “Dengan nama Allah yang Maha Pemurah lagi Maha Penyayang. Hai Tuhan, aku minta berlindung dengan Engkau dari gangguan Syaitan dan aku minta berlindung dengan engkau, hai Tuhan dari mereka datang kepadaku”.
  4. Ketika membasuh dua tangan hendaklah membaca doa yang bermaksud: “Hai Tuhan, sesungguhnya aku meminta dari Engkau kesempurnaan dan keberkatan dan aku minta perlindungan dengan Engkau dari kecelakaan dan kebinasaan”.
  5. Ketika berkumur hendaklah membaca doa yang bermaksud:- “Hai Tuhan, tolonglah aku membaca kitab Engkau, banyak berzikir kepada Engkau dan tetapkanlah aku dengan kata-kata yang tetap di dunia dan di akhirat”.
  6. Ketika memasukkan air ke hidung hendaklah membaca doa yang bermaksud: “Hai Tuhan, berikan kepadaku bau-bauan syurga dan Engkau reda kepadaKu”.
  7. Dan ketika mengeluarkan air dari hidung hendaklah membaca doa yang bermaksud:- “Hai Tuhan, sesungguhnya aku berlindung dengan Engkau dari bauan neraka dan kesiksaan neraka”.
  8. Ketika membasuh muka selain dari niat wuduk bacalah doa yang bermaksud:- “Hai Tuhan, bercahayalah mukaku dengan cahaya Engkau, pada hari bercahayanya muka wali-wali Kamu dan janganlah kamu menggelapkan mukaku dengan kegelapan Engkau pada hari menjadi hitam muka musuh-musuh Kamu”.
  9. Ketika membasuh tangan dan siku hendaklah membaca doa; bagi tangan kanan membaca doa yang bermaksud:- “Hai Tuhan, serahkanlah rekod amalanku melalui tangan kananku dan perhitungkanlah aku secara mudah”.
  10. Dan bagi tangan kiri hendaklah membaca yang bermaksud:- “Hai Tuhan sesungguhnya aku berlindung dengan Engkau dari Engkau serahkan buku rekodku melalui tangan kiriku atau dari belakang”.
  11. Ketika menyapu kepala hendaklah membaca doa:- “Hai Tuhan litupilah aku dengan rahmat Engkau, turunkan keberkatan Engkau kepada aku, lindungilah aku dibawah bayang arasy Engkau pada hari yang tidak ada sebarang perlindungan kecuali lindungan bayangan Engkau, hai Tuhan, peliharalah rambutku dan kulitku daripada api neraka”.
  12. Katika menyapu dua telinga hendaklah membaca doa yang bermaksud:- “Hai Tuhan, jadikanlah aku dari kalangan orang yang mendengar perkataan maka mengikut yang baiknya, hai Tuhan perdengarkanlah aku malaikat yang menyeru ke syurga, di syurga bersama-sama orang yang baik-baik”.
  13. Ketika membasuh kaki kanan hendaklah membaca doa yang bermaksud:- “Hai Tuhan, tetapkanlah kakiku di atas titian Sira al-Mustaqin bersama tetapnya kaki-kaki hamba-hambamu yang salih”.
  14. Dan ketika membasuh kaki kiri hendaklah membaca yang bermaksud:- “Hai Tuhan, sesungguhnya aku minta berlindung dengan Engkau dari tergelincirnya kakiku di atas titian Sirat ke dalam neraka pada hari tergelincirnya kaki-kaki orang munafik dan musyrik”.
  15. Apabila selesai mengambil wuduk, diakhiri dengan doa yang bermaksud:- Hai Tuhan, jadikanlah aku dari golongan orang-orang yang bertaubat, jadikanlah aku dari golongan orang-orang yang bersih dan jadikanlah aku dari golongan orang-orang yang salih”.

Adab ke Masjid

Keluar ke Masjid ialah menuju ke rumah Allah, untuk ke sana perjalanan hendaklah dalam keadaan tenang, kusyuk dan rendah diri. Ketika keluar membaca doa yang bermaksud:- “Hai Tuhan, jadikanlah dalam hatiku cahaya, di lidahku cahaya, jadikanlah pada pendengaranku cahaya, jadikanlah pada penglihatanku cahaya, jadikanlah di belakangku dan di hadapanku cahaya, dan jadikanlah di atasku cahaya, hai Tuhan berikanlah kepadaku cahaya”.

Adab Masuk dan Keluar Masjid

  1. Apabila sampai ke Masjid masuklah dengan langkah kaki kanan dan membaca doa yang bermaksud:- “Dengan nama Allah dan salam ke atas perutusan Allah, Hai Tuhan, ampunilah dosa-dosaku dan bukalah pintu-pintu rahmat Engkau untukku”.
  2. Apabila keluar dari masjid hendaklah membaca doa yang bermaksud:-“Dengan nama Allah dan salam ke atas perutusan Allah, Hai Tuhan, ampunilah dosa-dosaku dan bukalah pintu-pintu kelebihan Engkau untukku”.

Adab Dalam Masjid

  1. Apabila masuk ke Masjid sebelum duduk hendaklah sempurnakan sembahyang sunat “tahiyatul-Masjid” dua rakaat, lafaz niatnya yang bermaksud:- “Sahaja aku sembahyang sunat tahiyatul-Masjid dua rakaat kerana Allah Taala”.
  2. Kemudian diikuti dengan bacaan fatihah dan surah bagi tiap-tiap rakaat.
  3. Setelah selesai sembahyang hendaklah diniat duduk iktikaf dalam masjid iaitu yang bermaksud:- “Sahaja aku beriktikaf dalam masjid ini sunat kerana Allah Taala”.
  4. Di waktu iktikaf itu adalah sebaik-baiknya diisi dengan bacaan Quran, zikir, selawat ke atas nabi, doa, sembahyang sunat dan lain-lain. Di dalam masjid ini hendaklah dielakkan dari percakapan-percakapan bersifat keduniaan.

Adab Puasa

  • Puasa Ramadan adalah puasa wajib. Selain dari itu terdapat puasa-puasa sunat yang digalakkan oleh Syarak untuk peningkatan diri seseorang.
  • Puasa mingguan iaitu hari Isnin dan Khamis.
  • Puasa bulanan sehari di awal bulan, sehari di pertengahan bulan dan sehari di akhir bulan. Selain dari itu disunatkan puasa hari ketiga belas, empat belas dan lima belas pada tiap-tiap bulan.
  • Puasa dalam bulan tertentu iaitu hari kesepuluh bulan Muharam (Asyura) dan hari kesembilan (tasu*a), puasa sehari di awal sepuluh hari bulan Zulhijjah, bulan Muharram dan bulan Rejab. Sunat banyak berpuasa pada bulan Syaaban.
  • Apabila berpuasa hendaklah sentiasa menjaga adab zahir iaitu anggota dan lidah dari melakukan dosa dan batinnya supaya sentiasa ikhlas dan mengingati Allah. Secara umumnya niat puasa sunat ialah yang bermaksud:- “Sahaja aku puasa sunat besok hari kerana Allah Taala”.

Adab Baca Al-Quran

Membaca Quran adalah ibadat. Setiap perkataan dan huruf yang disebut diberi pahala. Selain dari menimbulkan kesedaran batin dan kebersihan rohani manusia, sebab itu Rasulullah s.a.w. menekankan kepada sahabat-sahabatnya supaya meluangkan masa seberapa yang banyak untuk membaca dan memahami al-Quran. Secepat-cepat pembacaan Quran dikatamkan dalam masa tiga hari dan selewat-lewatnya jangan lebih dari sebulan dan sebaik-baiknya Quran dapat dikatamkan bacaannya dalam masa seminggu. Para sahabat kenamaan seperti Uthman, Zaid Ibn Thabit, Ibn Mas*ud dan lain-lain mengkatamkan Quran dalam masa seminggu dengan dibuat penyusunan surah-surah seperti berikut:-

–    Malam Jumaat, Surah al-Baqarah – Surah al-Ma*idah
–    Malam Sabtu, Surah al-*An*am – Surah Hud
–    Malam Ahad, Surah Yusuf – Surah Maryam
–    Malam Isnin, Surah Taha – Surah al-Qisas
–    Malam Selasa, Surah al-Ankabut – Surah Sad
–    Malam Rabu, Surah al-Tanzil – Surah al-Rahman
–    Malam Khamis menghabiskan surah-surah yang baki.

Selain dari itu ada surah-surah yang tertentu digalakkan ulang membaca setiap hari seperti Yasin, al-Dukhan, al-Waqiah dan al-Mulk, lebih-lebih lagi pada hari dan malam Jumaat dengan ditambah surah al-Kahf dan Ali Imran.

Membaca Quran untuk keberkesanannya perlu kepada adab-adabnya antaranya ialah:-

  • Disunatkan berwuduk untuk membaca Quran, memakai pakaian yang bersih dan di tempat yang bersih.
  • Disunatkan membaca auzubillah di permulaan membaca.
  • Disunatkan duduk menghadap kiblat, dengan kusyuk dan tenang serta menundukkan kepala.
  • Disunatkan bersugi sebagai membesarkan Quran dan membersihkan.
  • Hendaklah diberi perhatian membaca Bismillah di awal tiap-tiap Surah kecuali surah Bara*ah.
  • Disunatkan membaca dengan penuh perhatian dan kefahaman, dengan demikian dapat melapangkan dada dan menyinarkan hati.
  • Disunatkan menangis atau menimbulkan tangisan di waktu membaca Quran atau melahirkan perasaan sedih dan kusyuk.
  • Memerdukan suara bila membaca Quran.
  • Disunatkan membaca dengan Tafkhim.
  • Disunatkan mengangkat suara atau merendahkan suara bila membaca Quran, ini bergantung kepada suasananya.
  • Membaca dimushaf lebih afdal dari membaca dari hafalan.
  • Apabila pembaca tersilap atau terlupa ayat hendaklah dibaca ayat sebelum itu kepadanya.
  • Makruh menutuskan bacaan dengan percakapan manusia.
  • Tidak harus membaca Quran dengan bacaan Shaaz.
  • Sebaik-baik bacaan ialah mengikut tertib yang disusun dalam mushaf.
  • Disunatkan menepati sebutan setiap huruf dalam Quran mengikut penentuan yang ditentukan oleh setiap wajah bacaan, tidak diubah kepada wajah bacaan lain.
  • Sunat mendengar Quran apabila dibaca.
  • Waktu yang diutamakan membaca Quran ialah di dalam sembahyang, waktu malam, separuh akhir malam dan sebaik-baik siang selepas subuh.
  • Memelihara kehendak-kehendak maksud ayat bila membacanya. Apabila membaca ayat Sajdah hendaklah dilakukan sujud. Doa yang dibaca dalam sujud adalah mengikut konteks ayat yang dibaca.
  • Dalam Quran terdapat sebanyak 14 tempat ayat Sajdah. Apabila membaca ayat tasbih hendaklah ia bertasbih dengan berkata subhanallah, ayat doa hendaklah berdoa dan beristigfar dengan berkata:-
  • Disunatkan berpuasa pada hari Khatam Quran.
  • Diakhiri bacaan Quran dengan doa.

Adab Berdoa:

Allah berfirman maksudnya “minta doalah daripadaKu, aku menerima doamu” (al-Mukmin 60)

  • Memilih waktu yang baik bila bedoa seperti hari Arafah, hari Jumaat, bulan Ramadan, waktu sahur, waktu malam dan sebagainya.
  • Memilih suasana yang baik seperti di waktu sujud, waktu hendak mendirikan sembahyang waktu di antara dua khutbah dan sebagainya.
  • Mengadap ke Qiblat dengan mengangkat dua belah tangan sehingga nampak ketiaknya dan menyapu dua tangan ke muka apabila selesai berdoa.
  • Tidak mengangkat suara di waktu berdoa.
  • Berdoa dengan penuh perasaan takut, gerun, kehebatan dan kebesaran Allah serta khusuk kepadaNya.
  • Merasa tenang dan yakin dengan penerimaan Allah dan menaruh penuh harapan kepadaNya.
  • Doa susunan katanya tidak memberatkan dan tidak bersajak.
  • Berdoa dengan penuh perhatian dan mengulang-ulang sebutan.
  • Memulai doa dengan menyebut nama Allah dan selawat ke atas Nabi Muhammad s.a.w.
  • Membersihkan batin dengan bertaubat kepada Allah dan hanya menerima Allah sepenuhnya.
  • Bersih badan dari kekotoran hadas dan najis.

Adab Berzikir:

Allah berfirman maksudnya, “maka ingatlah kepadaku, nescaya Aku ingat kepadamu”. “Sesungguhnya dengan berzikir kepada Allah dapat menenangkan hati”.

  • Berzikir dapat dilakukan dengan lidah atau hati sahaja, tetapi yang sebaik-baiknya berlaku serentak di antara hati dengan lidah. Sebaik-baik tempat berzikir ialah di tempat lapang dan bersih, digalakkan berzikir di Masjid dan tempat-tempat lain yang bersih dan terhormat.
  • Berzikir hendaklah dengan ada kesedaran hati, menyedari dan memahami apa yang diucapkan.
  • Berzikir dengan penuh perhatian dan kemesraan terhadap ucapan itu “takbir” dengan itu ucapan zikir hendaklah perlahan dan tidak cepat.
  • Kebersihan diri dari kekotoran hadas dan najis.


Adab Bertaubat:

Allah berfirman maksudnya, “Allah suka kepada orang yang bertaubat dan orang yang bersuci”.

  1. Taubat ialah meminta keampunan dari Allah s.a.w. di atas kesalahan yang dilakukan samada terhadap Allah atau manusia. Lafaz taubat yang bermaksud: “Aku meminta ampun dari Allah yang Maha Besar yang tiada Tuhan yang lain melainkan Dia yang hidup dan berdiri dengan sendiri dan juga aku minta taubat daripadaNya.”
  2. Bagi keberkesanan taubat perlu kepada memenuhi syarat-syarat ini, meninggalkan daripada maksiat itu, menyesal di atas perbuatan yang dilakukan dan ia berkeyakinan tidak akan kembali mengulangi maksiat itu selama-lamanya. Kalau kesalahan itu berkaitan dengan hak manusia hendaklah dikembalikan atau diminta izin daripadaNya.

Incoming search terms:

author
Author: 

    Related Post "Beberapa Ibadat / Adab Harian"

    Kode Etik Bagi Pengguna Jalan
    Duduk-duduk di pinggir-pinggir jalan sambil nongkrong, mengobrol
    Larangan Mencela Orang Yang Sudah Meninggal
    MukaddimahDi dalam hidup bermasyarakat, seorang Muslim perlu
    Cinta Dan Mencintai Allah
    Definisi Cinta Imam Ibnu Qayyim mengatakan, "Tidak
    10 JENIS ORANG ISLAM YANG KEJAM
    Sufyan Atsauri berkata: "Sepuluh macam kekejaman ialah

    Leave a reply "Beberapa Ibadat / Adab Harian"